SERI KEMBANGAN: Kerajaan Selangor akan meluluskan segera peruntukan hampir RM3 juta bagi merawat dan membersihkan kawasan seluas lebih sembilan hektar yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram di Bukit Serdang di sini, yang menjadi punca bau busuk hingga menjejaskan lebih 10,000 penduduk di sekitarnya.

Proses rawatan dan pembersihan itu pula memerlukan tempoh sekitar tiga bulan yang akan dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri, Worldwide Holdings yang pernah menguruskan masalah sama sebelum ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata jumlah sampah yang terkumpul sejak tujuh tahun lalu menyebabkan proses rawatan tanah yang dicemari ‘leachate’ (bahan larut resap) atau air daripada sampah di Bukit Serdang itu memerlukan tempoh yang lama.
Katanya, proses rawatan dan pemasangan ban atau halangan bagi mengelak leachate itu mengalir ke dalam kolam juga menelan kos tinggi dan dianggarkan mencecah sehingga RM3 juta.
“Langkah segera adalah kita akan buat ban atau halangan supaya air itu tidak mengalir ke kolam sedia ada dan air kolam itu juga tidak boleh mengalir ke kolam takungan di Puncak Jalil.

“Kita juga akan dapatkan kebenaran masuk daripada 15 pemilik tanah supaya agensi dan anak syarikat kerajaan negeri, Worldwide Holdings yang pernah uruskan masalah ini, boleh masuk dan memulakan proses rawatan, dengan kos sekitar RM2 hingga RM3 juta.
“Saya harap pada akhir minggu ini, Worldwide boleh masuk untuk buat rawatan, yang mengambil masa minimum dua hingga tiga bulan berdasarkan jumlah sampah yang ada.

“Saya akan segerakan perkara ini dan bawa ke dalam mesyuarat Rabu ini untuk meluluskan kos berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar; Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar dan Pegawai Daerah Petaling, Mohd Jusni Hashim.

Terdahulu, Amirudin meninjau tapak pembuangan sampah haram berkenaan bersama pengurusan kanan kerajaan negeri, JAS, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Pejabat Daerah Petaling untuk melihat sendiri situasi pencemaran di situ.

Tinjauan wartawan ke lokasi pembuangan sampah haram itu mendapati kebanyakan sampah sudah diuruskan kerajaan negeri, namun jelas kelihatan air berwarna hitam yang berbau busuk mengalir ke bahagian bawah dan masuk ke dalam kolam.

Kawasan pembuangan sampah haram itu juga dilihat tidak terurus dengan laluan tanpa tar yang berlopak dan dipenuhi anjing liar, manakala laluan masuk diletakkan palang besi.
Source: Berita Harian
Oleh Ahmad Suhael Adnan – Disember 5, 2022 @ 8:27pm
ahmad.suhael@bh.com.my

Categories: Malaysia News

0 Comments

Leave a Reply

Avatar placeholder

Your email address will not be published. Required fields are marked *

dev